Innalilahi, Khabar Duka Pelakon Lagenda Haerieyanto Hassan Dikerjakan Ke Hospital Hari Ini. Al Fatihah
KUALA LUMPUR: Pelakon Haerieyanto Hassan dikejarkan ke Hospital Ampang (HA), Selangor, pagi tadi selepas mengalami strok ringan yang mengakibatkan anggota badan sebelah kiri kaku.
Berkongsi perkembangan terkini pelakon itu, adik iparnya, Dasira Hassan memberitahu, Haeriyanto sedang dirawat di HA sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah.
"Kakak hubungi saya pagi tadi memaklumkan keadaan terkini Haeriyanto yang diserang strok ringan pada bahagian tubuh sebelah kiri.
"Dia mengesyaki suaminya diserang angin ahmar apabila menunjukkan simptom iaitu sukar mengangkat tangan kiri selepas diminta.
"Malah, kakak beritahu, butiran percakapan suami sukar difahami. Panik dengan keadaan itu, dia meminta saya hubungi ambulans.
"Selepas mendapati bacaan tekanan darah terlalu tinggi iaitu 211/131, paramedik membawa abang ipar ke hospital untuk tindakan susulan," katanya kepada BH Online.
Dasira yang juga adik kepada penyanyi Oja berkata, walaupun keadaan Haerieyanto stabil, doktor masih memantau perkembangan kesihatannya.
"Selepas menjalani pemeriksaan selama tiga jam, doktor mendapati ada darah beku bersaiz tiga sentimeter pada bahagian kanan kepalanya.
"Apa yang menghairankan, biarpun mengalami strok, abang masih boleh berkomunikasi dengan kakak. Kata doktor, biasanya orang terkena strok pengsan. Mungkin semangatnya sangat kuat.
"Doktor beritahu, sebelum pembedahan, mereka harus pastikan tekanan darah abang kembali stabil . Disebabkan itu, pemantauan perlu dibuat dari masa ke semasa," katanya.
Percaya dengan kuasa doa, Dasira mengharapkan semua pihak mendoakan agar kesihatan Haerieyanto yang juga pelakon drama bersiri Kampung People 2, segera pulih.
"Dalam situasi sekarang, hanya doa anda semua sahaja yang kami harapkan. Abang ipar masih terikat dengan beberapa projek lakonan dan dengan keadaan kesihatannya itu, saya berharap syarikat produksi dapat memahami situasinya," katanya.
Sementara itu, Oja melalui entri di Instagram Story (IGs) turut meminta peminat mendoakan agar abang iparnya segera sembuh.
Oja turut memaklumkan Haerieyanto perlu menjalani pembedahan segera akibat darah beku dalam kepala.