Remaja 19 tahun ambil MC sambut merdeka sebelum dicekup berkhalwat
- SUNGAI PETANI: Sanggup mengambil cuti sakit untuk meraikan sambutan ambang merdeka 2022 bersama tunang membawa padah buat seorang remaja perempuan apabila mereka dicekup berdua-duaan di sebuah hotel di sini, kira-kira pukul 1 pagi ini.
Remaja berusia 19 tahun dan pasangannya berumur 23 tahun berasal dari Serdang, Kulim yang kedua-duanya bekerja sebagai operator kilang itu ditahan di sebuah hotel bajet di Bandar Puteri Jaya selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen mengesahkan mereka pasangan suami isteri.
Walaupun memberi alasan dua tahun bertunang dan bakal berkahwin pada Oktober ini, namun mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkhalwat.
Mereka antara lima pasangan yang ditahan di beberapa buah hotel bajet di daerah ini melalui Op Ambang Merdeka 2022 melibatkan Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Penyiasatan Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Badar.
Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd. Noor Ismardi Ismail berkata, dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi itu, pihaknya turut menahan seorang individu lelaki berusia 20 tahun yang bersembunyi di atas siling kerana takut ditangkap.
“Sebaik pintu bilik sebuah hotel di Bandar Aman Jaya dibuka, kita menemui seorang wanita berusia 20-an yang mengaku menginap di hotel itu berseorangan.
“Selepas membuat pemeriksaan lanjut kita mendapati teman lelakinya bersembunyi di siling sebelum memintanya turun untuk ditahan kerana berkhalwat,” katanya.
Kata Mohd. Noor, kelima-lima pasangan itu yang berumur antara 19 hingga 40 tahun dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut.
“Keluarga mereka turut dipanggil untuk menjadi penjamin sebelum proses dokumentasi di bawah Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 dilaksanakan.
“Di bawah seksyen ini, jika didapati bersalah mereka boleh dihukum penjara selama dua tahun atau dikenakan denda sebanyak RM3,000,” katanya.
Mohd. Noor berkata, pihaknya akan terus melakukan intipan dan serbuan secara berterusan bagi mengekang kegiatan menyalahi syariat Islam selain berharap ibu bapa mengambil pendekatan mengawasi anak masing-masing agar mereka tahu batas pergaulan mengikut ajaran Islam sebenar. –UTUSAN ONLINE