Tiga maut, lori jatuh gaung di Kapit. Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Lori jatuh ke dalam gaung, 3 lelaki maut. Tiga lelaki warga tempatan maut selepas sebuah lori simen yang dinaiki mereka terhumban ke gaung di Jalan Merit, Kapit pada pagi Isnin.
Kesemua mangsa telah dikenal pasti sebagai sebagai George Wong, 33, Bunyau Manggie, 40, dan Steven Janggai Bungkang, 33.
Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.35 pagi sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 12 anggota dikerah bersama sebuah jentera, ambulans EMRS dan sebuah kereta Perodua Kembara bagi misi penyelamatan.
“Bagaimanapun pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila jentera yang digunakan tidak dapat melalui jalan balik sejauh 30 kilometer.
“Hal ini memaksa pasukan itu menumpang dua kenderaan pacuan empat roda milik syarikat simen terbabit untuk ke lokasi kejadian,” kataya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelasnya, setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati lori muatan simen itu jatuh ke gaung sedalam 20 kaki.
“Seramai tiga mangsa yang berada di dalam kenderaan itu dilaporkan tersepit dan pihak bomba terpaksa menggunakan sistem takal dan hidraulik untuk memotong bingkai cermin lori tersebut.
“Ketiga-tiga mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan dibawa naik menggunakan kaedah Basket Stretcher,” katanya lanjut.