Siak meninggal dunia dalam keadaan bersujud
Siak bermaksud penjaga masjid meninggal dunia dalam keadaan bersujud
SHAH ALAM: Pengguna media sosial semalam, digemparkan dengan kisah seorang ahli jawatankuasa yang juga siak Surau Al Mujahiddin, Desa Surada di Bandar Baru Bangi yang meninggal dunia dalam keadaan bersujud di surau berkenaan.
Difahamkan, beliau yang dikenali sebagai Roslan ditemui sudah tidak bernyawa oleh jemaah lain surau berkenaan sewaktu sujud solat sunat Zohor, petang semalam.
Berita kematian beliau yang dianggap istimewa itu tersebar luas di laman sosial yang turut memaparkan gambar jasad arwah yang sedang bersujud dikelilingi jemaah surau yang menyedari kematiannya.
Umumnya, umat Islam menganggap kematian dalam keadaan bersujud adalah satu kelebihan yang diberikan ALLAH SWT kepada hamba-Nya yang beriman, tambahan pula ia berlaku dalam bulan Ramadan yang penuh keampunan.
Bagaimanapun, usaha Sinar Harian menghubungi individu yang dipercayai imam surau berkenaan, Sukor Atan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian berkenaan gagal kerana beliau tiada di rumah.
Tanda-tanda orang yang meninggal dalam keadaan baik atau husnul khatimah
Ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya apakah tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan baik (husnul khatimah).Di sini saya akan meringkaskan tanda-tanda seseorang itu meninggal dalam keadaan baik serta beberapa potongan doa untuk mendapatkan pengakhiran baik berdasarkan hadis baginda Rasulullah:
1. Melafazkan kalimah syahadah sebelum meninggal dunia – Sabda Rasulullah: Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’ nescaya dia akan memasuki syurga. – [HR Abu Daud 3316].
2. Meninggal pada hari atau malam Jumaat – Sabda Rasulullah: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur. – [HR Al-Tirmidzi 1074].
3. Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya – Sabda Rasulullah: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya. – [HR al-Tirmidzi 982].
4. Seseorang diberikan taufiq dan hidayah serta beramal soleh sebelum dia meninggal dunia – Sabda Rasulullah: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat (RA) bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?” Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya. – [HR al-Tirmidzi 2142].
5. Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut – Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid. – [HR Muslim 1915].
6. Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT – Sabda Rasulullah: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal kerana penyakit taun, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan atau tebing dan syahid di jalan Allah. – [HR al-Bukhari 652].
7. Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak – Sabda Rasulullah: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian kerana sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid. – [HR Ibn Kathir 5869].
8. Meninggal dunia kerana mempertahankan harta dan maruah dirinya – Sabda Rasulullah: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!” “Bagaimana kalau dia melawanku?” Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!” “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid.” “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!” – [HR Muslim 140].
9. Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh – Sabda Rasulullah: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.” – [HR Ahmad 23372].
10. Meninggal disebabkan penyakit taun – Sabda Rasulullah: dari ‘Aisyah berkata; “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah tentang masalah taun lalu baginda memberitahu kepada aku bahawa taun adalah sejenis seksaan yang Allah kirimkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah menjadikan hal itu sebagai rahmat bagi kaum muslimin. Tidak ada seorang pun yang menderita jika dia bertahan di tempat tinggalnya dengan sabar mengharapkan pahala dan mengetahui bahawa dia tidak terkena musibah melainkan kerana Allah telah mentakdirkan kepadanya maka dia mendapat pahala seperti pahala orang yang mati syahid”. [HR Bukhari 3215]
Dah Baca, Jangan Lupa Like, Komen Dan Share Ya. Terima Kasih