Arwah Benjy khatam al-Quran, habiskan masa buat amal ibadah dalam penjara
Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar bersedih atas pemergian rakan baiknya Allahyarham Benjy Ibrahim yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia hari ini.
Menurut laporan BH Online, Ellie sempat mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan namun tidak dapat hulur sejak kebelakangan ini berikutan kekurangan ‘job’ akibat Covid-19.
“Arwah beritahu saya keadaannya batuk hingga keluar darah. Dia juga minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya.
Ellie berkata, dia pernah berjanji untuk membawa pulang Benjy atau nama penuhnya Khaeryll Benjamin Ibrahim ke tanah air sekiranya dibebaskan dari penjara atas kesalahan memiliki dadah yang menjalani hukuman selama 11 tahun.
“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.
“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” ujarnya.
Tambah Ellie, dia sering menitipkan kata-kata semangat kepada arwah selain menyifatkan ia adalah masa sesuai untuk melakukan amal ibadah.
“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” tambahnya.
Terdahulu, Allahyarham Benjy yang berusia 43 tahun menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta sebelum Zohor waktu tempatan, esok.
Sepanjang hayatnya, arwah yang juga anak kepada kepada Allahyarham Azean Irdawaty terkenal dengan pelbagai watak sehingga memenangi Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002.
Sumber: BH Online (Fatin Farhana Ariffin)