Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Pusat karaoke terbakar lagi



Alor Setar: Tiga bilik VVIP di tingkat atas serta ruang bawah sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong, di sini musnah dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian 10 pagi itu, kebakaran itu turut menyebabkan dua bilik karaoke VIP di pusat hiburan bersebelahan turut musnah.

Pusat karaoke yang pernah terbakar April lalu sehingga mengakibatkan tiga pelanggan maut dipercayai tidak beroperasi ketika kebakaran berlaku.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain yang mengetuai operasi itu berkata, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja berjaya mengawal api dari terus merebak ke deretan bangunan di situ.

"Ketika kejadian tiada mangsa dilaporkan berada dalam premis berkenaan.

TIGA bilik VVIP di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffly
TIGA bilik VVIP di sebuah pusat karaoke di Jalan Putra, Mergong yang musnah dalam kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffly

"Anggota kami menghadapi kesulitan untuk memadam kebakaran berbanding kebakaran sebelum ini disebabkan jenis binaan dalam bangunan itu adalah fiber serta kusyen dalam bilik karaoke berkenaan menyebabkan kemerebakan berlaku dengan cepat.

"Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 4 petang hari ini," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, pegawai dari Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah sedang menyiasat punca kebakaran berlaku.

Beliau berkata, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari kawasan berhampiran turut membantu memadamkan kebakaran selain bantuan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Anggota kami melakukan tugas dengan pantas untuk memadam kebakaran bagi mengelak premis jualan kereta bersebelahan turut terbakar.

"Ini kebakaran kali kedua berlaku dalam tahun ini dan siasatan masih dijalankan untuk mengetahui punca dan kerugian dalam kejadian ini," katanya.

Untuk rekod, tiga pelanggan pusat karaoke itu ditemui maut manakala lapan lagi mangsa terselamat dalam kebakaran di premis bangunan dua tingkat itu pada jam 10 pagi 22 April lalu.

Tiga mangsa terbabit, Mark Barry, 32, Kim Mei Kit, 32, dan lelaki, Jeffry Tan Yan Wei, 30, ditemui terbaring dalam bilik VIP 2 di pusat karaoke berkenaan.

Sumber: Harian metro

Disiarkan pada: Julai 17, 2022 @ 5:05pm